LANGKAH-LANGKAH MENGHINDARI PENYALAHGUNAAN DADAH

Khamis, 13 Oktober 2016

LANGKAH-LANGKAH MENGHINDARI PENYALAHGUNAAN DADAH



Penyalahgunaan dadah merupakan salah satu musuh utama di negara kita. Penyalahgunaan dadah adalah penggunaan dadah yang bertentangan dengan kepentingan rawatannya. Penggunaan dadah akan menyebabkan seseorang itu berada dalam keadaan mabuk, khayal, ketagih serta gangguan tingkah laku tetapi penagih dadah menganggap dadah sebagai satu alat yang mampu membawa perasaan gembira kepada mereka. Dengan pemikiran ini, penagih dadah akan terus bergantung hidup kepada dadah dan menyebabkan ketagihan. Oleh itu, penagih dadah akan berada dalam keadaan yang susah tanpa dadah.
Terdapat pelbagai langkah untuk menghindari dari kegiatan penyalahgunaan dadah supaya ia berkurang dan kalau boleh dihapuskan sama sekali. Antaranya ialah pihak kerajaan perlu mengenakan hukuman yang berat kepada pengedar dan penagih dadah. Misalnya kerajaan perlu mengenakan hukuman mati (gantung) kepada pengedar dadah. Hal ini adalah kerana tanpa pengedar dadah ini sudah tentu penagih akan sukar memperolehi bekalan dadah. Begitu juga kepada penagih  dadah perlu dikenakan hukuman yang berat. Sebagai contoh, hukuman bagi penyalahgunaan dadah jenis ‘Syabu’. Kesalahan mengedar dadah Syabu iaitu antara 20 gram hingga 50 gram (dibawah seksyen 3 (a) Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27). Selain itu, hukuman minima adalah 20 tahun penjara dan 15 kali sebatan. Jika melebihi daripada 50 gram akan dikenakan hukuman mati (gantung) manakala kesalahan bagi memakan dadah Syabu di bawah Seksyen 6 (b) Akta Penyalahgunaan Dadah Penggal 27, boleh dijatuhkan hukuman maksima 10 tahun penjara atau RM20,000.00 atau kedua-duanya sekali.


Selain itu, pihak media massa juga dapat menyumbang dalam membanteras masalah penyalahgunaan dadah ini. Sebagai contoh, pihak media massa boleh menyiarkan berita atau cerita yang boleh membawa keinsafan kepada remaja supaya mereka tidak melibatkan diri dalam penggunaan dadah. Hal ini kerana yang baik kita dijadikan teladan, yang buruk kita jadikan sempadan. Segala rancangan televisyen dan bahan cetak yang mengandungi adegan-adegan ganas yang boleh mempengaruhi minda remaja perlu ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan atau diterbitkan. Selain itu, pihak media massa boleh menganjurkan kempen-kempen kesedaran kepada orang ramai. Misalnya, kempen-kempen kesedaran seperti ‘Kempen Anti Dadah’, ‘Belia Benci Dadah’ boleh dianjurkan di peringkat sekolah ataupun di kalangan masyarakat. Di samping itu, ceramah-ceramah tentang keburukan dadah juga boleh diadakan.
Langkah yang seterusnya ialah perlu mewujudkan kerjasama di antara orang awam dan kerajaan bagi membanteras penyalahgunaan dadah. Hal ini bertujuan supaya masyarakat sentiasa berganding bahu bagi sama-sama mengelakkan diri daripada isu penyalahgunaan dadah yang semakin berleluasa terutamanya dikalangan remaja ataupun dikenali sebagai belia. Sebagai contoh masyarakat dan pihak kerajaan perlu memantau serta bertindak pantas dalam melaporkan kegiatan-kegiatan yang mencurigakan ini.
Ibubapa perlu memainkan peranan yang penting dalam menjaga serta mendidik anak-anak. Kesibukan ibubapa dalam pekerjaan mengakibatkan anak-anak itu terbiar dan bebas dari kawalan ibubapa. Untuk mengelakkan anak-anak dari terlibat dalam penyalahgunaan dadah, ibubapa harus memperhatikan setiap pergerakan anak-anak mereka dan hendaklah sentiasa mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka serta sanggup meluangkan masa untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh anak mereka. Ibubapa juga seharusnya mengetahui rakan-rakan anak mereka yang digaul adalah mempunyai kedudukan moral yang baik ataupun tidak. Melalui kasih sayang yang secukupnya, anak-anak tidak akan terasa tersisih sehingga menyebabkan mereka terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Selain itu, ibubapa hendaklah memberikan didikan agama yang secukupnya kepada anak-anak kerana didikan agama yang cukup dapat melahirkan anak-anak yang dapat membezakan  antara baik dan buruk. Tambahan lagi, ibubapa hendaklah menjadi role model kepada anak-anak.
Akhirnya, penubuhan pusat-pusat pemulihan perlu dipertingkatkan. Pihak kerajaan juga telah menubuhkan pusat-pusat pemulihan yang bertujuan untuk memberi rawatan bagi penagih-penagih samada dari berbagai peringkat umur, bangsa dan lain-lain. Hal ini kerana pihak kerajaan mahu memberikan kesedaran kepada penagih-penagih dadah yang telah terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Secara ringkasnya, cara yang paling biasa digunakan untuk mencegah penagih dari mengulangi tabiat mereka adalah melalui pemantauan yang kerap dan berterusan, kaunseling, dorongan keluarga dan manipulasi sekitaran. Ini kemudiannya diikuti dengan mencegah mereka dari bergaul semula dengan rakan-rakan lama mereka yang turut sama terlibat dan juga mencegah mereka daripada memperolehi bekalan dadah dengan mudah. Memantau individu yang terlibat adalah amat penting.

Kesimpulannya, dadah membawa banyak kesan buruk. Penyalahgunaan dadah yang berpunca daripada banyak faktor mengakibatkan banyak masalah sosial berlaku. Oleh itu, semua pihak hendaklah berganding bahu dan mengatur strategi untuk mengatasi masalah ini yang juga dianggap musuh utama negara. Antaranya adalah pihak-pihak yang bertanggungjawab terutamanya pihak kerajaan hendaklah mengatur langkah untuk menangani masalah tersebut. Namun, ia tidak akan berjaya sekiranya kita sebagai rakyat tidak mahu bekerjasama untuk membanteras masalah ini. Ibubapa perlu memainkan peranan membimbing anak-anak mereka supaya menjauhi dadah. Masyarakat perlu insaf bahawa masalah dadah boleh membebankan keluarga dan negara. Akhirnya, masyarakat haruslah terus memerangi dadah agar masyarakat tidak menjadi lemah.

0 ulasan :

Catat Ulasan