MAKSUD DADAH

Khamis, 13 Oktober 2016

MAKSUD DADAH



Purata bagi pengambilan dadah adalah sangat meningkat dan tidak dapat dibendung. Dadah juga telah berleluasa sebagai satu fenomena yang membahayakan khususnya bagi golongan remaja. Kini dadah terdapat di dalam pelbagai bentuk dan hampir sama seperti ubat-ubatan yang biasa. Dadah juga semakin meningkat permintaannya kerana sesetengah dari golongan remaja ini tidak diberitahu akan kemudaratan dadah ini. Hal ini, akan menjerumuskan remaja tersebut kedalam gejala penagihan dadah dan akan menyebabkan berlakunya pelbagai jenis maksiat yang semakin berleluasa. Dadah juga perlu diberi perhatian supaya gejala ini dapat dibendung serta dihapuskan terus dari negara ini. Oleh itu, bagi mengelakkan gejala ini tersebar luas, maka semua pihak perlu untuk berganding bahu dalam mencegah gejala penagihan dadah.
Rata-rata rakyat Malaysia berbicara tentang dadah, tetapi pernahkah kita bertanya kepada diri sendiri apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan dadah. Dadah merupakan najis yang telah mengancam negara kita sejak sekian lama dan isu penyalahgunaan dadah masih kekal  menjadi musuh utama negara. Dadah secara rationalnya digambarkan sebagai sesuatu yang negatif dan perlu dijauhi. Penyalahgunaan dadah berlaku apabila dadah digunakan bukan untuk tujuan perubatan dan diambil oleh seseorang tanpa pengawasan pihak perubatan. Dadah memberikan kesan negatif ke atas sistem badan, tingkah laku manusia dan sebagainya. Keburukan yang diterima oleh pengambil dadah adalah lebih banyak berbanding kebaikan dan manfaatnya yang boleh didapati. Jika diteliti, dadah disalah gunakan untuk kepentingan diri sendiri seperti mengelakkan rasa sakit, mendapatkan rasa segar, mengelakkan tekanan hidup, melarikan daripada kesengsaraan dan sebagainya.


Bagi menjelaskan dengan lebih mendalam lagi, dadah yang diertikan sebagai “drug” didalam bahasa Inggeris dan lazimnya dimaksudkan sebagai ubat-ubatan. Perkara penting mengenai dadah ianya selalu di salah guna atau di dalam perkataan yang mudah iaitu “misuse” dan “abuse”.
Selain itu, dadah juga bermaksud bahan yang digunakan untuk merawat penyakit, mengurangkan simptom atau mengubahsuai proses kimia di dalam badan untuk tujuan-tujuan tertentu. Walaubagaimanapun, bukan semua bahan yang dimakan dianggap dadah. Misalnya, ubat-ubatan yang dimakan secara normal tidak dianggap sebagai dadah kerana ia dimakan secara betul dan mengikut dos yang telah ditetapkan oleh doktor melainkan ubat-ubatan tersebut diambil khas utuk tujuan tertentu. Sebagai contoh ubat batuk yang dimakan secara normal dan mengikut dos yang telah ditetapkan maka pemakan tidak akan mengalami simptom-simptom yang aneh malah dapat mengurangkan kesakitan tersebut. Bagi pemakan yang mengambil ubat batuk dengan tidak mengikut dos yang ditetapkan dengan menelan terus kesemua sekali ubat tersebut dalam waktu yang sama akan menyebabkan perubahan simptom badan seperti mengalami pening kepala dan seterusnya menyebabkan khayalan.
Dari sudut agama, dadah juga dibincangkan secara khusus. Di dalam kitab suci Al-Quran juga menerangkan secara jelas dan nyata, istilah “khamar” yang diharamkan digunakan bagi semua bahan yang memabukkan atau boleh menghilangkan fikiran. Oleh yang demikian, dadah boleh dikategorikan sebagai satu daripada jenis “khamar” kerana ia boleh memabukkan, mengkhayalkan dan menyebabkan penagihan seterusnya akan berlakunya pergantungan, perubahan tingkah laku iaitu dari segi emosi, ragam dan pemikiran. Dadah juga telah diharamkan kerana ia dapat memabukkan dan menyebabkan ketagihan. Dadah telah pun diharamkan sejak turunnya ayat yang mengatakan apa sahaja bahan yang dapat memabukkan dan pergantungan ke atasnya. Oleh itu, apa-apa sahaja bahan yang dapat memabukkan dan pergantungan adalah haram disisi Al-Quran dan  akan dijatuhkan hukuman yang berat kelak.



Secara umumnya, dadah bermaksud sebarang bahan kimia yang psikoaktif, samada berbentuk asli yang belum diubah bentuknya seperti daun ketum atau tiruan yang diubah bentuk dan fizikalnya menjadi seperti air ketum. Apabila dimasukkan kedalam tubuh badan secara disuntik, dihidu, dihisap atau dimakan boleh mengubah fungsi tubuh badan seseorang atau organisma dengan menjadikan seseorang itu berada dalam keadaan yang memabukkan, mengkhayalkan dan menyebabkan penagihan samada dari segi fizikal iaitu berubahnya seseorang kepada seorang yang kotor, busuk dan tidak terurus  atau mental seperti gila.

0 ulasan :

Catat Ulasan